Selasa, 24 Desember 2013

ATM Tumpaskan Cubaan Seludup Petrol


KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menumpaskan satu cubaan menyeludup keluar minyak diesel dan petrol dari negara ini dalam satu serbuan di Pulau Danawan Semporna, Sabah semalam.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (Pangkalan Operasi Hadapan) Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan media memberitahu, pasukan ATM turut menahan lima lelaki dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang tersebut.

"Aktiviti haram ini disedari oleh beberapa penduduk kampung yang mengesyaki berlaku proses pemindahan minyak antara dua buah bot di pulau berkenaan lalu melaporkannya kepada anggota ATM di Pos Pulau Danawan.

"Ketua Penempatan Pos Pulau Danawan, Kapten Ismail Merah bersama tujuh anggota membuat serbuan. Pemeriksaan mendapati awak-awak bot terbabit sedang melakukan pemindahan diesel dan petrol dari bot tempel kepada bot pusu," kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut ATM seterusnya menemui sebanyak 1,855 liter diesel dan 1,960 liter petrol yang dipercayai mahu dipindahkan ke dalam salah sebuah bot terbabit untuk dibawa keluar ke Filipina.

Justeru, kata kenyataan itu, ATM bertindak menahan kelima-lima lelaki yang dipercayai berbangsa Bajau dan menunda dua bot berkenaan ke jeti tentera Pulau Danawan.

"Laporan tentang kejadian itu telah dibuat kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tawau untuk tindakan lanjut," jelas kenyataan itu.


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Lihat ini Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger