Minggu, 02 Februari 2014

VIDEO Kenapa Hudud Tidak Sesuai Dilaksanakan


SEJAK beberapa tahun lalu, sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai nama mereka di negara ini mencemuh kerajaan dengan pelbagai tuduhan kerana kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO enggan melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Antara tuduhannya ialah para pemimpin terdahulu antaranya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut dituduh menolak hukum Allah dan juga digelar kafir oleh para pempimpin parti berkenaan.

Penulis menemui satu video dikongsikan rakan Facebook yang mungkin boleh digunakan sebagai salah satu panduan kepada kita tentang kenapa hukum hudud itu tidak boleh lagi dilaksanakan di negara kita atau pada zaman ini.

Video menunjukkan Mufti Besar Mesir Syaikh Ali Goma’ah yang merupakan Mufti Besar Mesir ke-lapan di zaman pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.

Pada ketika Syaikh Ali sebagai Mufti lah pihaknya telah menemui presiden Mubarak dan sejak itu secara rasmi Mesir adalah sebuah negara Islam menurut perlembagaannya.

Dalam video selama 7 minit 41 saat itu, Syaikh Ali menjawab soalan dari para hadirin berkenaan adakah orang yang enggan melaksanakan hukum hudud dianggap menolak hukum Allah?

Soalan berbunyi “Bilakah boleh dilaksanakan Hudud? Kami rakyat meminta Ente kerajaan bertanggungjawab dan akan disoal oleh Allah kerana tidak melaksanakan Hudud?”

Menurut Syaikh Ali, manusia pada zaman ini tergopoh-gapah hendak melaksanakan dan kemudian sesuka hati menuduh dan mengatakan para pemimpin menolak hukum Allah itu.

“Apa lagi yang Ente hendak laksanakan? Tidak cukupkah negara ini dikenali sebagai sebuah negara Islam (Mesir). Dulu perlembagaan kita pada tahun 1923 tidak termaktub di dalamnya Islam adalah sebuah agama bagi Mesir.

“Pada tahun 1970, saya dan Syeikhul Azhar, pergi menemui Presiden Mesir dan menyuruhnya memasukkan Islam sebagai agama negara Mesir dalam Perlembagaan.

Menurut Syaikh Ali, pada ketika itu Presiden Mubarak bersetuju.

“Kami juga menyuruh syariat Islam akan menjadi syariat utama di Mesir, dan Presiden juga bersetuju,” katanya.

Beliau berkata di dalam perlembagaan Mesir, telah disyaratkan bahawa presidennya mesti Islam dan juga Menteri Pertahanan yang mengawal angkatan tenteranya juga mesti Muslim.

Pada ketika itu ada rakyat yang mempersoalkan kepimpinan presiden Mubarak kerana enggan melaksanakan hukum hudud dan presiden memanggil Syaikh Ali dan berkata padanya.

“Sebagai contoh kes zina, untuk mensabitkan perbuatan zina itu perlu ada empat orang saksi yang adil yang menyaksikan perbuatan zina itu betul-betul berlaku dengan mata kepala mereka.. Jadi Syaikh, tolong beritahu aku (Mubarak) di mana kita mahu mencari empat orang saksi yang adil pada zaman ini? Adakah si penzina itu berzina di tengah jalan raya? Jadi Bagaimana?,” kata Syaikh Ali menceritakan semula detik pertemuan dengan Presiden.

Syaikh Ali berkata sebab itu lah di Mesir tidak ada seorang penzina pun dihukum rejam sehingga hari ini, begitu juga di dalam sejarah pemerintahan Islam.

Mufti Besar Mesir itu mengambil contoh kemudiannya kisah seorang pemuda bernama Ma’iz ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W masih hidup pada ketika itu Ma’iz mengaku di hadapan baginda Rasulullah bahawa dia sudah melakukan zina.

“Baginda tidak menerima pengakuan itu, sehingga empat kali Ma’iz berulang-alik pergi bertemu Rasulullah mengaku bahawa dia berzina, Sehingga baginda bertanya kepada Ma’iz adakah Ente gila wahai Ma’iz?

“Ma’iz menjawab tidak, baginda kemudian keluar berjumpa orang ramai dengan harapan ada orang yang akan mengatakan Ma’iz gila seraya bersabda, Adakah Ma’iz ini gila? Mereka menjawab Tidak Ya Rasulullah. Bahkan Ma’iz ini adalah orang yang sangat bijak malahan lebih bijak daripada kami,” katanya.

Syaikh Ali berkata oleh kerana itu, baginda terpaksa menghukum Ma’iz dengan hukuman rejam.

Menurut beliau, ketika Ma’iz mula direjam dan batu pertama terkena muka Ma’iz lantas Ma’iz lari lintang pukang.

“Para sahabat cuba menangkapnya tetapi baginda Rasulullah menegah dan berkata “Lepaskan sahaja dia,” dengan nada kasihan belas,” kata Syaikh Ali.

Banyak lagi penjelasan Syaikh Ali yang dikongsikan dalam video ini. Beliau merupakan pakar dalam pengetahuan undang-undang Islam.

Elok kita jadikan panduan bukan untuk mengatakan ia tidak perlu dilaksanakan tetapi, eloklah kita kuatkan amalan Islam kita yang wajib terlebih dahulu sebelum kita memandai-mandai bersuara lantang minta kerajaan laksanakan Hudud.

Kita ni solat pun kadang-kadang tertinggal. Ingat kalau mencuri kertas di pejabat serta alat tulis di pejabat pun boleh hukum potong tangan tau kalau cukup empat orang saksi yang adil.

Anda rasa anda terpelihara sangat ke dari dikenakan hukum hudud?




0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Lihat ini Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger