Senin, 10 Februari 2014

Dilema kaum Cina perkongsian atau rampasan kuasa kata Dr M

Oleh Hasbullah Awang Chik
July 27, 2013

Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini menuduh DAP cuba menjadikan Malaysia sebagai Singapura iaitu kaum Cina membolot kuasa politik dan ekonomi berbanding perkongsian kuasa ala Barisan Nasional (BN).

 Pendapat itu diutarakan dalam akhbar milik Umno, New Straits Times dengan berkata DAP melemahkan ahli kanan MCA sehingga “idea perkongsian kuasa politik dan ekonomi bersama orang Melayu tidak mendapat sambutan.”

Beliau berkata, sejak kemerdekaan negara pada 1957, orang Cina berkongsi kemewahan dan kuasa bersama orang Melayu namun idea menjadikan Malaysia seperti Singapura kelihatan seakan-akan menarik seperti berlaku di negeri Pulau Pinang.

 “Dilema kaum Cina kini sama ada merebut kuasa politik sementara mendominasi kuasa ekonomi atau mengamalkan prinsip perkongsian seperti yang diamalkan hari ini.
“Itulah dilema orang Cina hari ini,” jelas Dr Mahathir dalam ruangan akhbar berkenaan.

Beliau mempertahankan BN dengan berkata kerajaan “kongsi” memberi faedah besar kepada Malaysia dengan membawa keamanan dan kestabilan kerana tanpa faktor berkenaan pengembangan ekonomi dan pembangunan tidak akan tercapai.

“Tidak terfikir oleh mana-mana kaum sama ada Cina atau Melayu untuk merampas bagi kepentingan diri sendiri bagi mendominasi ekonomi dan politik Malaysia,” kata mantan Perdana Menteri yang paling lama menerajui negara itu.

Beliau berkata seperti mana anak muda Cina yang tidak pernah dibesarkan semasa penjajahan British, mereka tidak mensyukuri nikmat pembangunan dan kemerdekaan malah mudah dipengaruhi hujah DAP yang mendakwa orang Cina tidak mendapat apa-apa faedah sejak kemerdekaan.

“Kemerdekaan jelasnya memberi faedah besar kepada orang Cina.
“Orang Cina sangat berjaya di bawah kerajaan ‘kongsi’ BN di mana mereka meluaskan perniagaan ke luar negara, membeli syarikat asing, memulakan perniagaan dan mendapatkan kontrak serata dunia terutamanya selepas Malaysia menjadi terkenal di mata dunia,” katanya.

Beliau turut menyatakan kaum Cina kurang menyertai sektor kerajaan kerana orang Cina melihat kurang peluang terutama dalam hal gaji. Kebanyakan pekerja kerajaan didominasi oleh kaum Bumiputera.

“Meskipun orang Cina sertai kerajaan, mereka akan berhenti awal bagi memulakan perniagaan,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, purata gaji orang Cina selepas merdeka jauh lebih tinggi daripada purata gaji kebangsaan sementara kadar kemiskinan lebih rendah berbanding purata nasional.

“Kita tidak mengamalkan meritokrasi kerana akan mengundang jurang besar antara orang kaya dan miskin juga beza antara kaum,” katanya.
Dr Mahathir menambah, pemimpin MCA berada di sebelah kanan Perdana Menteri yang sepatutnya orang Melayu ditempatkan di situ atas sebab parti terbesar BN.

“Perlembagaan turut tidak menghalang orang Cina menjadi Perdana Menteri namun harus mendapat sokongan majoriti rakyat.
“Penolakan MCA oleh DAP hanya mengakibatkan pewakilan Cina dalam kerajaan menjadi lemah. Tanpa DAP, MCA boleh menambah lebih kerusi dalam Parlimen dan kerajaan,” kata Dr Mahathir. -27 Julai, 2013.


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Lihat ini Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger