Rabu, 25 Desember 2013

Restoran Nasi Kandar Di Ipoh Diarah Tutup


IPOH – Sebuah restoran nasi kandar popular antara empat premis makanan di bandar raya ini yang diarah tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan setelah tempat penyediaan makanannya didapati kotor.

Dalam operasi pada kira-kira jam 5 petang itu, tempat penyediaan makanan di restoran terbabit dikesan mempunyai najis tikus.

Jurucakap Jabatan Kesihatan negeri berkata, disebabkan mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, kesemua premis makanan terbabit diarah tutup sehingga 28 November ini kerana boleh membahayakan kesihatan orang awam khususnya pelanggan.

Menurutnya, notis perintah tutup premis makanan itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Sebanyak 12 premis di kawasan bandar raya ini diperiksa dalam Operasi Kebersihan Premis itu dan empat kompaun dikeluarkan.

“Lima premis ditutup kerana didapati tidak bersih dan terdapat kehadiran tikus dalam premis terbabit dan najis haiwan itu dijumpai di tempat penyediaan makanan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada operasi berkenaan mempunyai kaitan dengan keraguan orang ramai seperti dihebahkan dalam laman sosial, beliau berkata, ia hanya kebetulan.

Katanya, operasi bersepadu membabitkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dan Jabatan Imigresen negeri itu dirancang lebih awal.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nordiyanah Hassan mengesahkan operasi terbabit dijalankan.

Sebelum ini, sebuah laman sosial mendedahkan terdapat sebuah premis tidak bersih apabila najis manusia dikatakan diletakkan di peti simpan makanan, dipercayai untuk dijadikan pelaris. – Sinar Harian Online


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Lihat ini Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger