Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendesak kerajaan menutup saja Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) memandangkan institusi itu gagal membela hak Orang Asli, khususnya berkaitan tanah dan wilayah adat Orang Asli di Kelantan.
Timbalan Pengerusi JKOAK Harum Asir, 60, mengulas mengenai tindakan jabatan itu yang tidak menggalas tanggungjawab mempertahankan kepentingan Orang Asli berhubung isu pengukuran tanah.
Menurut Harum, perbuatan jabatan itu membayangkan mereka bersekongkol dengan kerajaan Kelantan untuk membenarkan tanah Orang Asli dicuri.
"Untuk apa jabatan ini ditubuhkan bila timbul isu-isu begini, dimana mereka," kata Harum kepada media selepas penyerahan memorandum di Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.
Harum juga mendakwa pengukuran tanah yang dilakukan oleh Kelantan melanggar undang-undang kerana ia bertentangan dengan polisi sedia ada untuk Orang Asli.
"Kerajaan negeri sepatutnya menunggu keputusan kerajaan Persekutuan mengenai isu pengukuran tanah ini kerana isu tersebut masih dalam proses perbincangan oleh Jawatankuasa Khas yang mengkaji laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli oleh Suhakam.
"Namun bukan sahaja mereka meneruskan kerja pengukuran tersebut malah turut bersubahat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli," katanya.
Sementara itu Ketua Persatuan Belia Orang Asli Kelantan Dandi Johar, 21, turut mendedahkan JKOA telah merekrut di kalangan Orang Asli agar menghasut kaum asli lain untuk memihak kerajaan.
"Itu yang kita kesalkan mereka tubuhkan satu pertubuhan lain yang pro kepada kerajaan untuk menghasut yang lain, mereka melihat JKOAK ini sebagai ancaman untuk mereka meneruskan niat jahat mereka,"katanya.
Sehubungan itu JKOAK bertegas dalam hal ini untuk menghantar memorandum kepada Suhakam membantah isu pengukuran tanah.
Selain mendesak kerajaan negeri membatalkan kerja-kerja pengukuran tanah, memorandum tersebut juga mendesak kerajaan Kelantan tidak melaksanakan apa-apa polisi tanah sedia ada yang akan melibatkan tanah diduduki Orang Asli serta tidak melakukan apa-apa tindakan boleh menjejaskan hak dan kawasan wilayah tanah adat Orang Asli.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Suhakam Rodziah Abdul yang mewakili Pengerusi Tan Sri Hasmy Agam.
Rodziah berkata Suhakam akan mengkaji mengenai tuntutan JKOAK itu terlebih dahulu.
"Kita terima memorandum itu dan kita akan mengkaji terlebih dahulu baru kita akan kemukakan syor tersebut kepada Jawatankuasa Laporan Inkuiri," katanya. – 1 November, 2013.
0 komentar:
Posting Komentar